Jan 19-21, 2024 – Program operasi khidmat masyarakat “USIM Turun Bendang” 2024 ini telah diadakan di Kg Teluk, Mukim Binjal, Jitra Kedah oleh Institut Sains Islam, USIM sebagai peneraju dengan kerjasama beberapa jabatan lain. Pada program kali ini penduduk di kawasan-kawasan terpilih berpeluang mendapat khidmat nasihat perubatan percuma daripada pakar perubatan pelbagai bidang melalui lawatan pesakit dari rumah ke rumah.

Seramai 30 orang pelajar telah terlibat dalam program ini dan mereka terdiri dari jurusan perubatan tahun 3 daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Pengajian Al-Quran dan Sunnah (FPQS), USIM berserta pensyarah perubatan (pakar perubatan pelbagai bidang), pensyarah serta pegawai sokongan dari Institut Sains Islam (ISI), FPSK, FPQS dan Pusat Kesihatan Universiti, USIM.

Antara objektif program ini diadakan adalah untuk menjadi platform khas kepada warga kerja Institut Sains Islam (ISI) dalam mengeratkan ikatan silaturahim di antara staf USIM dengan komuniti masyarakat khususnya masyarakat luar bandar di samping dapat mengukuhkan agenda integrasi Naqli dan Aqli dengan masyarakat setempat khususnya masyarakat luar bandar sekaligus selaras dengan Fokus USIM iaitu Community@USIM.