Oktober 2025 – Institut Sains Islam (ISI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berbesar hati menjalinkan kerjasama strategik bersama Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) dalam meneroka pembangunan masa depan berteraskan metodologi futures thinking.

Sesi perbincangan memfokuskan kepada usaha membina visi Lembah Al-Quran (Qur’anic Valley) sebagai sebuah ekosistem yang mengangkat al-Quran sebagai teras pembentukan masyarakat. Perbincangan turut meneliti bagaimana al-Quran kekal menjadi identiti umat Islam dalam mendepani pelbagai gelombang perubahan seperti penjajahan, sekularisasi, pemodenan, globalisasi dan era Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI).

Pendekatan yang dibincangkan menekankan kepentingan memahami dinamika perubahan serta melaksanakan reformasi secara sistemik melalui pemerkasaan golongan belia dan pemanfaatan teknologi AI yang berpaksikan nilai-nilai al-Quran.

ISI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Dato’ Hj. Hussamuddin Yaacub, dan Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Puan Marhaini Yusoff, atas sokongan serta perkongsian idea yang bernilai. Semoga kerjasama ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan pelbagai inisiatif WUIF seperti Malaysia #QuranHour, World #QuranHour dan #AktifkanRumahNgaji, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang berteraskan nilai-nilai al-Quran.