NOTES FROM THE DEAN
السلام عليكم ورحمة الله وبركا ته
Dengan lafaz kalimah suci Alhamdullilah seluruh warga Institut Sains Islam (ISI) melafazkan kesyukuran kepada Allah subhanahu wataala atas segala anugerah, nikmat dan berkat yang telah dikecapi. Selawat serta salam dipanjatkan kepada Nabi Muhammad saw, para keluarganya yang mulia dan para sahabatnya yang terbilang serta para pengikutnya sehingga ke akhir zaman.
Institut Sains Islam ditubuhkan untuk menjadi sebuah institut ternama dan pusat rujukan yang berteraskan Sains Islam dalam pelbagai bidang yang mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli. Hal ini sehaluan dengan misi ISI iaitu untuk menghasilkan bakat serta kepakaran yang mampu mentransformasikan negara, ummah, dan manusia sejagat. Bagi mencapai misi tersebut, ISI telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, peralatan pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan teknologi terkini seperti makmal komputer, bilik mesyuarat, kamera rakaman, bilik seminar dan lain-lain. Selain itu, Insitut Sains Islam akan terus mengorak langkah dengan mengadakan lebih banyak program atau aktiviti yang dapat memenuhi keperluan industri dan pihak berkepentingan di seluruh negara sejajar dengan usaha dalam mencapai visinya untuk menjadi pusat rujukan bertaraf antarabangsa dalam bidang Sains Islam untuk pembangunan ummah dan kemanusiaan sejagat. Justeru, aktiviti keilmuan di ISI tidak terbatas kepada memahami dan mengupas worldview sains Islam semata-mata, tetapi mengaplikasikannya di organisasi atau dalam masyarakat melalui badan-badan pelajar seperti Urusetia Reka Cipta dan Inovasi (UREKA) dan Sekretariat Sahabat Perintis YOUTH (SSPY) yang ditubuhkan di ISI.
Penubuhan ISI mewujudkan rasa tanggungjawab bahawa Sains Islam perlu diketengahkan dan menjadi teras utama bagi semua program yang dijalankan sama ada di peringkat akademik, penyelidikan dan perkhidmatan. Program akademik Sarjana Sains Islam dan Doktor Falsafah Sains Islam yang memfokuskan pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli diharapkan dapat melahirkan ilmuwan Islam yang berintegriti, mempunyai pengetahuan yang seimbang antara ilmu agama dan sains moden meliputi aspek minda, jiwa dan roh, fizikal dan batin serta mempunyai integriti sosial. Diharapkan juga penawaran program akademik ini dapat melahirkan saintis muslim yang mempunyai komitmen tinggi untuk memacu perkembangan dan pembangunan tamadun Islam ke arah yang positif sehingga menjadi rujukan bagi ketamadunan ummah sarwajagat.
Penyelidikan merupakan asas kepada perkembangan pengetahuan sedia ada. Oleh yang demikian, penyelidikan yang diterajui oleh ISI adalah merentasi disiplin, paduan ilmu-ilmu agama dan sains yang berintegriti dan saling menyokong antara satu sama lain bagi membangunkan ummah dan manusia sejagat. Penyelidikan – penyelidikan yang dijalankan di ISI bertepatan dengan visi dan misi untuk menjadikan ISI sebagai pusat penyelidikan, inovasi dan rujukan antarabangsa dalam bidang Sains Islam serta meneroka kerangka Sains Islam sebagai satu disiplin ilmu baharu yang boleh diketengahkan diperingkat akademik dan masyarakat secara umumnya.
Selamat melayari laman sesawang ISI. Diharapkan pengunjung mendapat maklumat yang berguna melalui sesawang ini. Kami di ISI sentiasa menunggu dan bersedia untuk menerima anda sebagai keluarga ISI sama ada sebagai pelajar, penyelidik atau ahli akademik. Kami juga mengalu-alukan kepada semua untuk memberikan sebarang maklumbalas bagi menjadikan laman web ini lebih interaktif dan berinformasi kepada anda semua. Semoga anda menyahut pelawaan kami untuk bersama-sama ISI dalam memartabatkan sains Islam yang dapat dimanfaatkan oleh Ummah.
Sekian.
Salam hormat,
Profesor Madya Dr. Mohd Azman Hashim @ Ismail
Dekan Institut Sains Islam
Universiti Sains Islam Malaysia