29 Oktober 2025, Rabu – Institut Sains Islam (ISI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Bicara Industri 1: “Artificial Intelligence (AI) dan Inovasi Sosial” bersempena Festival IDEA Negeri Sembilan 2025 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), USIM.

Program ini dikendalikan oleh moderator, Prof. Madya Dr. Norfadhilah Mohamad Ali, Dekan Institut Sains Islam (ISI), dengan menampilkan dua orang panel jemputan, iaitu Encik Khairul Arifin Mohd. Munir, Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE), dan Encik Ahmad Naim Jaafar, Pengasas Open Talent Network serta penulis buku Revolusi Bakat.

Sesi bicara memberi fokus kepada peranan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) dalam memacu inovasi sosial, di samping membincangkan peluang, cabaran dan implikasi penggunaannya terhadap pembangunan masyarakat. Perbincangan turut menekankan kepentingan penerapan nilai, etika dan tadbir urus yang baik dalam memastikan teknologi AI dimanfaatkan secara bertanggungjawab demi kesejahteraan ummah.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen ISI dalam memperkasa wacana ilmiah berkaitan teknologi dan inovasi melalui pendekatan integrasi ilmu Naqli dan Aqli, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan masyarakat yang berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran era digital.