20 Mei 2025, Selasa – Nilai dan pendekatan Sains Tauhidik perlu diketengahkan sebagai asas penting dalam mendepani cabaran semasa dan masa hadapan. Demikian antara intipati utama yang dikupas dalam Syarahan Sains Islam bertajuk “Sains Tauhidik dalam Mendepani Cabaran Era Baharu” yang telah disampaikan oleh tokoh ilmuwan tersohor, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj. Othman, Timbalan Pengerusi, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Program syarahan ini telah berlangsung di Dewan Kuliah Fakulti (DKF) 1.2, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Dalam syarahannya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof menekankan betapa pentingnya umat Islam memahami dan membangunkan sains berasaskan pandangan alam tauhid, yang menekankan kesepaduan ilmu, etika, dan tanggungjawab terhadap alam serta kemanusiaan. Pendekatan ini, katanya, bukan sahaja mampu menangani krisis nilai dan ketidakseimbangan dalam sains moden, malah memberi arah tuju yang lebih bermakna kepada pembangunan sains dan teknologi masa kini.
Program ini turut membuka ruang perbincangan ilmiah dalam kalangan pensyarah, penyelidik, dan pelajar berkaitan penghayatan sains Islam secara lebih holistik, selari dengan aspirasi USIM dalam memartabatkan integrasi ilmu Naqli dan Aqli.