Siri 10 : Terapi Diri “Siapa Aku”

Dalam syarahannya, Dr. Muhammad Widus menyatakan bahawa tidak semua manusia mengenal hakikat diri mereka yang sebenarnya. Sementara, hakikat diri manusia adalah kunci utama dalam memahami dengan baik sifat-sifat Allah yang maha mutlak dan menyeluruh. Selain itu, ia adalah dalil terbaik yang boleh menghantar manusia dalam memecahkan kod rahsia hakikat penciptaan alam semesta dan segala isinya. Akibat perkara ini amat penting dihurai, maka Said Nursi pun menulis risalah khas yang berkait rapat dengan hakikat diri manusia yang dinamakan “Risalah Ana.”

Di dalam risalah ini, Said Nusi mengupas tuntas hakikat Ana (أَنَا); matlamat hidup, esensi kehidupan, gambaran hidup, dan rahsia kehidupan Ana (أَنَا) seperti berikut:

Pertama: Matlamat hidup Ana (أَنَا)

            Pada hakikatnya, matlamat hidup Ana (أَنَا) sudah boleh digambarkan selepas menghayati kandungan “Risalah Ana” seperti yang dihuraikan di atas. Bukan hanya itu, tajuk-tajuk terapi diri Rasail Nur, dari tajuk pertama hingga tajuk terakhir ini, telah menggambarkan secara detail hakikat Ana (أَنَا). Sedar perkara ini, dengan ringkas Said Nursi merumuskan matlamat hidup Ana (أَنَا) ke dalam sembilan noktah utama:

            Pertama: Sentiasa mengucapkan syukur universal, dan menimbang segala nikmat sama ada yang telah dikurniakan mahupun yang akan dikurniakan di masa mendatang daripada rahmat ilahi dengan neraca indera-indera yang ada dalam tubuhmu.

Kedua:  Membuka khazanah terselubung Asmaul Husna dengan kunci-kunci maknawi yang dibekalkan di dalam fitrahmu, dan mengenal Allah s.w..t dengan pendekatan nama-namaNya.

Ketiga: Menampakkan manifestasi Asmaul Husna yang terpancar dalam diri anda, dan memperlihatkan keindahannya yang sempurna di hadapan makhluk-makhluk Allah dengan ilmu dan kesedaran penuh.

Keempat: Menampakkan kehambaanmu di hadapan keagungan rububiyah Sang Penciptamu dengan ibadah perbuatan dan ucapan.

Kelima: Mempercantik diri dengan sifat-sifat manusiawi yang dikurniakan oleh manifestasi Asmaul Husna kepada diri Anda, dan menampakkannya di hadapan Allah yang Maha Menyaksikan secara azali. Perumpamaan Anda di sini seperti seorang perajurit yang memakai pelbagai lencana yang dihadiahkan oleh Sultan dalam pelbagai munasabah rasmi, dan mempamerkannya di hadapanNya sebagai bukti daripada kemurahan dan kepedulianNya terhadap Anda.

Keenam: Menyaksikan fenomena-fenomena hidup daripada makhluk-makhluk Allah s.w.t. dengan ilmu dan pengetahuan. Kerana fenomena-fenomena tersebut adalah penghormatan (tahiyyāt) dan kata petunjuk kepada Sang Penciptanya. Selain itu, Anda pun sepatutnya menangkap tasbih makhluk hidup kepada Sang Penciptanya dengan tafakkur dan penuh ibrah. Kerana tasbih-tasbih tersebut adalah rumusan hidupnya. Selanjutnya, Anda memberi kesaksian bahawa mereka itu adalah makhluk yang sentiasa beribadah kerana ibadah itu sememangnya adalah matlamat hidupnya.

Ketujuh: Mengetahui sifat-sifat mutlak Sang Pencipta, perkara-perkaraNya yang bijak, dan mengukurnya dengan apa yang telah dikurniakan ke dalam dirimu daripada ilmu, kudrat, dan iradat yang bersifat parsial (juz’i). Maksudnya, menjadikan semua sifat-sifat manusiawi Anda sebagai model mini dan unit ukuran dalam mengetahui sifat-sifat mutlak Allah yang Mulia.

Contohnya: Seperti Anda membangunkan sesuatu rumah dengan rekabentuk yang sempurna daripada kekuatan, iradat, dan ilmumu yang bersifat parsial (juz’i), Anda pun sepatutnya tahu –dengan melihat keagungan binaan istana alam semesta dan aturannya yang sempurna- bahawa Penciptanya adalah maha berkemampuan, maha tahu, bijak, dan maha mengatur.

Kedelapan: Memahami perkataan-perkataan yang datang dari setiap benda yang ada di alam ini dan mengetahui kalimat maknawinya –sesuai dengan fitrah penciptaannya- yang berkait rapat dengan keesaan dan rububiyah Sang Penciptanya.

Kesembilan: Mengetahui darjat-darjat kudrat ilahi dan kekayaan khazanah rabbani yang mutlak dengan neraca kelemahan, kefakiran dan hajat yang tidak terhad dalam diri Anda. Seperti Anda mengetahui jenis-jenis makanan dan darjat kelezatannya dengan darjat rasa lapar dan keperluan akan sesuatu, maka Anda pun sepatutnya memahami darjat kudrat ilahi dan kekayaan khazanahnya dengan rasa lapar dan kefakiranmu yang tidak terhad.

 

Kedua: Esensi hidup Ana (أَنَا)

 Said Nursi berkata, “Adapun esensi kehidupanmu adalah:

Dia adalah indeks pelbagai keanehan yang berkait rapat nama-nama ilahi..

Neraca mini untuk mengetahui perkara-perkara ilahi dan sifat-sifat muliaNya..

Mizan pelbagai alam yang sedia ada dalam alam semesta ini..

Papan senarai pelbagai kandungan alam semesta ini..

Peta alam semesta ini..

Inti pati kitab alam besar ini..

Koleksi kunci-kunci khazanah kudrat ilahi yang tersembunyi..

Ciptaan yang paling indah dan sempurna daripada makhluk lain yang sedia ada tersebar di alam semesta ini.”

Ketiga: Gambaran hidup Ana (أَنَا)

       Said Nursi berkata, “Adapun gambaran hidupmu adalah:

Hidupmu ibarat kalimat yang bijak yang ditulis dengan pena kudrat ilahi..

Hidupmu ibarat ucapan yang begitu fasih yang menunjukkan Asmaul Husnasama ada yang nampak terlihat ataupun yang didengar.”

 

Keempat: Rahsia hidup Ana (أَنَا)

Said Nursi berkata, “Hidupmu adalah cermin bagi manifestasi keesaan Allah, dan pancaran keagunganNya. Maksudnya, hidupmu seperti cermin yang membiaskan manifestasi zat Allah yang esa, tempat bergantung segala sesuatu. Oleh itu, hidupmu seakan-akan noktah utama terhadap seluruh jenis manifestasi nama-nama Allah bagi seluruh alam.”

Di penghujung pembentangan, pembentang merumuskan:

[1]   Ana (أَنَا) yang berarti “aku” yang sememangnya merujuk kepada zat manusia selaku hamba Allah adalah kunci utama dalam memecahkan rahsia besar sifat-sifat Allah dan alam semesta.

[2]   Sifat-sifat Allah s.w.t. bersifat mutlak dan menyeluruh. Meski demikian sifat-sifat tersebut boleh diukur dan diketahui hakikat mereka yang sebenarnya dengan pendekatan Ana (أنَا). Iaitu dengan menjadikan Ana (أَنَا) sebagai unit ukuran, mizan maknawi, dan cermin yang membiaskan tafsiran wujud kepada Asmaul Husna. Jika seseorang telah mengetahui bahawa dirinya pada hakikatnya hanyalah bayang-bayang sahaja dan wujudnya bersifat mengekor (tab’i) dari wujud Allah s.w.t., dan ianya tercipta untuk menjadi dalil atas kewujudan Allah s.w.t. yang bersifat mutlak dan berkekalan dalam keesaan rububiyah dan uluhiyah, maka pada ketika itulah manusia akan mengetahui dengan baik hakikat dirinya yang sebenar.

[3]   Wajah-wajah Ana (أَنَا) yang mengetahui hakikat dirinya dengan baik, mereka itulah dari kalangan orang-orang yang suka mensucikan diri. Mereka adalah buah manis daripada silsilah kenabian.

[4]   Wajah-wajah Ana (أَنَا) yang tidak mengetahui hakikat dirinya dengan baik, mereka itulah dari kalangan orang-orang yang mengotori kesucian fitrah sendiri. Mereka adalah buah pahit dari filsafat dan hikmah yang mengasingkan diri daripada silsilah kenabian dan agama. Mereka tidak ingin merapat ke agama, apatah lagi dikawal oleh agama.

 

 

 

INSTITUT SAINS ISLAM (ISI)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6675/6676, Faks: +606-798 6677, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.