Siri 2 : Terapi Diri “Iman vs Kufur”

Siri kedua: Terapi Diri Dengan Kekuatan Iman Tahqiqi

Dalam syarahannya, Dr. Muhammad Widus Sempo menghurai darjat iman tahqiqi yang sememangnya berbeza dengan iman taklid yang dimiliki orang-orang awam. Adapun iman tahqiqi adalah keimanan yang menyakini dengan kuat nilai-nilai iman yang wajib diyakini. Iman tahqiqi ini membolehkan seorang Muslim menyaksikan hakikat keesaan (wahdaniyah) Allah dan menyakini bahawa segala sesuatu datang dari kudrat dan iradat mutlak Allah s.w.t.. Selain itu, diyakini juga bahawa Allah s.w.t. adalah Tuhan yang esa yang tidak punya sekutu, tidak punya penolong dalam mentadbir alam semesta (rububiyah), dan kekuasaan-Nya amat mutlak dan tidak punya tandingan. Keimanan seperti ini akan memberi rasa percaya diri dan ketenangan hati.

Matlamat iman tahqiqi di atas  berusaha sedaya upaya mencapai martabat keyakinan yang paling tinggi yang dikenal dengan haqqul yakin (حق اليقين).

Iman seperti ini sentiasa teguh dan kuat berdiri meski dicabar dengan hujah-hujah yang tidak berasas dari musuh-musuh Islam yang ingin menjerumuskan mangsanya dalam kesesatan.

Secara sederhana Said Nursi menyatakan matlamat iman tahqiqi seperti berikut, “Matlamat kami adalah mencapai maksud (اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ ).”

Dalam mencapai iman tahqiqi tersebut, Said Nursi meletakkan empat dasar kehidupan:

Pertama: Kelemahan diri (العجر).

Maksudnya, menyakini bahawa diri amatlah lemah. Ia banyak hajat, namun semua itu tidak akan mungkin tercapai hanya dengan mengandalkan kemampuan diri. Tetapi ia mestilah mengakui kelemahan dirinya di hadapan Allah s.w.t. yang memiliki kudrat yang mutlak. Dengan berasa lemah, kita akan ingat selalu kudrat Allah s.w.t yang maha mutlak. Sebab itulah, kita dengan izin Allah s.w.t. punya banyak peluang mendapatkan kurnia pertolongan dari-Nya. Konsep kehidupan yang bertauhid ini adalah jalan tercepat dalam menggapai redha Allah s.w.t.. Itu kerana ia memiliki pintu-pintu kehambaan (ubudiyyah) yang beraneka ragam.

 Kedua: Kefakiran (الفقر).

Maksudnya, menyakini bahawa diri ini memiliki banyak kekurangan. Ia memerlukan titik tumpuan dan sandaran. Sebab itulah, ia sentiasa menjadi manifestasi atau tafsiran nyata dari hakikat rahmat yang ada pada ar-Rahman, Allah yang maha Pengasih.

Ketiga: kasih sayang (syafaqah).

Maksudnya, seseorang mestilah memiliki perasaan kasih kepada sesama dan menyanyangi semua makhluk Allah tanpa pengecualiaan. Orang yang memiliki sifat ini pada hakikatnya telah mencerminkan hakikat makna ar-Rahim, Allah yang maha Penyanyang.

Keempat: Tafakkur

Tafakkur merupakan media rabbani yang digunapakai Said Nursi dalam memahami baik makna-makna ketuhanan dan kehidupan yang ada dalam diri setiap makhluk Allah s.w.t. Dengan tafakkur, seseorang akan tahu hikmah-hikmah Allah s.w.t. di balik setiap penciptaan alam semesta dan isinya. Selain itu, fikiran semakin tajam dan hati semakin terang bercahaya setiap kali kedua-duanya menangkap makna besar di balik semua perkara yang berlaku di muka bumi ini.

Di akhir pembentangan, penceramah memberi kesimpulan:

  • Dengan tafakkur Said Nursi sentiasa berkomunikasi interaktif dengan alam semesta dan isinya. Apa yang terlihat dalam tafakkur memberi pengaruh besar dalam dirinya dan umat.
  • Tujuan iman tahqiqi adalah untuk menyelamatkan akidah umat.

 

 

 

INSTITUT SAINS ISLAM (ISI)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6675/6676, Faks: +606-798 6677, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.