Siri 5 : Terapi Diri Menjiwai Sunnah Nabi

Siri kelima: Terapi Diri Menjiwai Sunnah

Dalam syarahannya, Dr. Muhammad Widus Sempo menyatakan bahawa Said Nursi mewakafkan hidupnya untuk mempamerkan keistimewaan Sunnah Rasulullah s.a.w. dalam menemani Al-Quran menakkhodai perahu umat Islam yang berlayar menuju alam akhirat dengan selamat. Ia adalah teman Al-Quran dalam membangun ketamadunan yang lebih manusiawi, berakhlak dan beradab. Kegemilangan tiga abad pertama dari generasi al-Quran dan Sunnah yang disebut sebagai zaman terbaik (khairul qurun) dalam tarikh hijrah nabawi serta kegemilangan tamadun Islam yang terbilang di pelbagai belahan dunia dengan Baitul Hikmah di Baghdad yang kemudian diwarisi oleh Darul Hikmah di Mesir adalah bukti nyata yang tidak terpatahkan bahawa kekuatan umat sememangnya terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah. Selagi mereka berpegang kuat kepada sumber samawi ini, ketamadunan Islam akan kembali dicapai dengan penuh kegemilangan. Semua ini dihayati kuat Said Nursi. Sebab itulah, beliau ingin mengembalikan kedudukan Sunnah sebagai teman sejati Al-Quran dalam memberi petunjuk dan pedoman hidup.

Sebab itulah, visi dan misi perjuangan Said Nursi berkait rapat dengan pemartabatan Sunnah sebagai rujukan asal dalam semua aspek kehidupan.

Beliau berkata, “Visi hidup kami mencintai cinta dan memusuhi permusuhan, artinya memperkasakan kekuatan bala tentara cinta di antara orang muslim dan memecah persatuan askar permusuhan di antara mereka.

Titian hidup kami adalah berakhlak dengan akhlak Muhammadiyah s.a.w. dan menghidupkan Sunnah Nabawi.

Mursyid kami dalam kehidupan adalah Syariat.

Pedang kami dalil-dalil kuat yang tidak terpatahkan.

Matlamat kami adalah meninggikan kalimat Allah.

Sesungguhnya setiap mukmin memiliki intisab (keterikatan rapat) dengan jemaah kami secara maknawi. Platform dari jalinan ukhuwah maknawi ini adalah niat kuat untuk menghidupkan Sunnah Nabawi dalam kehidupan.

Di akhir pembentangan, Dr. Muhammad Widus merumuskan:

  • Selain al-Quran, Sunnah telah menyelamatkan hidup Said Nursi dalam mencari kebenaran dan hakikat keitka ingin membuka jubah “Said Lama” dengan “Said Baharu.”
  • Orang-orang yang menerapkan amalan-amalan Sunnah dalam kehidupan harian memiliki darjat “al-mahbubiyah” sebagai kekasih Rasulullah s.a.w.
  • Ahli keluarga Rasulullah s.a.w. adalah mereka yang mengamalkan Sunnahnya setiap hari.
  • Kebiasaan boleh dirubah menjadi ibadah yang mendapatkan pahala jika ianya dikerjakan dengan berteraskan adab-adab nabawi.
  • Rumah surgawi adalah rumah yang menghidupkan pengajian Quran dan Sunnah.

 

 

 

INSTITUT SAINS ISLAM (ISI)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6675/6676, Faks: +606-798 6677, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.