Siri 7 : Terapi Diri Dengan Syafaqah

Siri ketujuh: Terapi Diri Dengan Syafaqah

Dalam syarahannya, Dr. Muhammad Widus Sempo menyatakan bahawa syafaqah (شفقة) dalam makna yang sederhana diertikan dengan kasih sayang, kelembutan dan rasa hiba. Oleh itu, orang yang memberi nasihat dan mengambil berat kepada kemaslahatan orang yang dinasihati disebut dengan as-syafiq (الشفيق).

Untuk melihat tingkat kefahaman seseorang terhadap makna rahmat yang dirangkumi ar-Rahman dan ar-Rahim (الرحمن الرحيم) dan menilai sejauh mana kepeduliannya kepada umat, maka syafaqah boleh menjadi ukuran. Sebab itulah, seorang mujaddid (pembaharu) memiliki syafaqah yang bersifat universal. Bukan hanya diri dan keluarganya yang diperhatikan, tetapi umat secara menyeluruh, bahkan semua makhluk hidup yang terbentang luas di alam semesta ini.

Said Nursi adalah mujaddid abad ke 20, beliau mewarisi syafaqah kenabian yang sememangnya dimiliki setiap nabi Allah s.w.t.. Kerana itu, Said Nursi amat peduli dan menyayangi semua makhluk hidup.

Oleh itu, setiap derita umat adalah derita beliau juga. Bukanlah rasa sakit yang dideritai tubuhnya secara fizikal yang menyeksa jiwanya, tetapi penyakit maknawi umat dari kemiskinan, kelaparan, kemunduran tamadun, dan kebodohan.

Beliau berkata, “Saya boleh menanggung semua rasa sakit yang sedang dirasakan oleh tubuh ini. Namun rasa sakit yang dideritai umat Islam membuat diriku benar-benar hancur. Setiap tikaman yang diarahkan ke tubuh dunia Islam, aku rasakan seperti diarahkan ke hatiku. Oleh itu, kalian melihatku seperti orang yang hatinya sedang hancur. Namun saya melihat adanya cahaya terang yang akan datang menghapus duka ini, insya Allah.”

Di akhir pembentangan, Dr. Muhammad Widus Sempo merumuskan:

  • Syafaqah (kasih sayang) Said Nursi bersifat menyeluruh dan mengandungi semua aspek kehidupan.
  • Sebab Said Nursi mewarisi sifat kepedulian kepada umat yang sememangnya itu adalah warisan kenabian, ianya pun mengambil berat setiap perkara yang merusak akidah umat. Oleh itu, setiap kali dunia Islam difitnah atau diserang dengan faham-faham sesat yang tidak bernas, jiwa Said Nursi seperti ditikam.
  • Kunci utama dalam menggapai syafaqah sama ada ianya datang dari Allah s.w.t. mahupun dari sesama makhluk adalah mengakui bahawa diri ini amatlah lemah dan tidak sempurna.

INSTITUT SAINS ISLAM (ISI)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6675/6676, Faks: +606-798 6677, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.