Siri 9 : Terapi Diri Melalui Persaudaraan

Dalam syarahannya, Dr. Muhammad Widus Sempo menyatakan bahawa konsep persaudaraan yang ditanamkan dalam diri setiap murid Said Nursi adalah kunci keberhasilan dakwah Rasail Nur. Oleh itu, Tullab Nur dalam berdakwah melihat kemaslahatan am, bukan kepentingan peribadi. Konsep “al-fanā’ fi al-ikhwān” adalah konsep baharu yang diasaskan Said Nursi untuk menjaga kelangsungan dakwah Islam dan memelihara kerukunan dan persaudaraan antara sesama makhluk dalam kehidupan sosial bermasyarakat.

Sebelum menghurai hakikat konsep persaudaraan ini, pembentang lebih awal menyebut jenis-jenis al-fanā’ dalam dunia sufi seperti berikut:

Pertama: al- fanā’ fi Allah. Iaitu perubahan sifat-sifat manusiawi dalam diri seorang salik (yang sedang meniti jalan menuju Allah s.w.t.) dengan sifat-sifat ilahi. Maksudnya, merubah diri dengan berusaha menghayati dan mengamalkan makna-makna yang dimiliki setiap sifat Allah s.w.t.

                Kedua: al- fanā’ fi ar-Rasul. Iaitu perubahan sifat-sifat manusiawi dalam diri seorang salik dengan sifat-sifat Nabi Muhammad s.a.w..

                Ketiga: al-fanā’ fi as-Syekh. Iaitu perubahan sifat-sifat seorang murid (penuntut ilmu makrifat) dengan sifat-sifat yang dimiliki oleh syekh dan mursyidnya dalam tarekat.

                Meskipun demikian, Said Nursi menambah satu jenis lagi al-fanā’, iaitu al-fanā’ fi al-Ikhwān.

                Seperti apakah konsep baharu ukhuwwah ini?

                Said Nursi menyatakan bahawa “al-fanā’ fi al-Ikhwān” adalah hakikat ukhuwwah yang dibina atas dasar keimanan yang bertumpu kepada adanya integriti sempurna sama ada secara ruh mahupun perilaku diantarai orang-orang beriman yang disatukan oleh akidah rabbani yang hanya mengenal satu Tuhan Pencipta, matlamat mulia secara fitrah penciptaan, metod ilahi yang seragam, sehingga setiap individu akan merasakan dirinya bahawa ia seakan-akan memakai jasad saudara-saudaranya yang beriman, sehingga ia akan bahagia dengan kebahagiaan mereka, sedih kerana kesedihan mereka. Ringkasnya, “orang yang fanā’ dalam ukhuwwah lebih mengutamakan kepentingan jamaah saudara-saudaranya daripada kepentingan dirinya sendiri kerana telah menghayati makna integriti Islam dalam persaudaraan.

Di akhir pembentangan, Dr. Muhammad Widus Sempo merumuskan:

[1]    Konsep al-fanā’ fi al-ikhwān adalah konsep Islam yang begitu mujarab dalam mengekang sifat-sifat buruk manusia dalam menjalani kehidupan sosial dalam masyarakat.

[2]    Konsep al-fanā’ fi al-ikhwān menjadikan seseorang boleh menerima kelebihan dan kemuliaan seseorang, bahkan ia lebih mengutamakan kepentingan jamaah daripada kepentingan diri sendiri. Ia bangga dengan pencapaian saudara dan redha berbagi senang dan duka dengan saudaranya.

[3]    Konsep persaudaraan ini datang dari Al-Quran dan Sunnah. Konsep ini boleh dilihat dalam kehidupan harian para sahabat Rasulullah s.a.w.. Mereka merupakan teladan terbaik dalam hal ini.

[4]    Konsep persaudaraan ini memberikan kekuatan maknawi dan peluang yang besar kepada sesiapa sahaja yang masuk dalam lingkarannya kerana doa-doa yang dipanjatkan dalam konteks jamak yang merangkumi banyak orang.

[5]    Konsep persaudaraan ini adalah ubat mujarab yang boleh melumpuhkan kesan buruf sifat-sifat jelek manusia, seperti hasad, ego, dan sombong.

 

 

 

INSTITUT SAINS ISLAM (ISI)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6675/6676, Faks: +606-798 6677, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.