Kata Aluan Pengarah

 

السلام عليكم ورحمة الله وبركا ته   

Dengan lafaz kalimah suci Alhamdullilah seluruh warga Institut Sains Islam (ISI) melafazkan kesyukuran kepada Allah subhanahu wataala atas segala anugerah, nikmat dan berkat yang telah dikecapi.  Selawat serta salam dipanjatkan kepada Nabi Muhammad saw, para keluarganya yang mulia dan para sahabatnya yang terbilang serta para pengikutnya sehingga ke akhir zaman.

Penubuhan ISI adalah berdasarkan keyakinan dan rasa tanggungjawab bahawa Sains Islam perlu menjadi teras bagi semua program yang dijalankan dalam peringkat akademik, penyelidikan dan perkhidmatan. Program akademik yang ditawarkan dalam kedua-dua peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah Sains Islam diharapkan dapat menghasilkan generasi ilmuan Islam yang mempunyai integriti pengetahuan yang seimbang antara ilmu-ilmu agama dan sains moden, minda, jiwa dan ruh, fizikal dan batin serta mempunyai integriti sosial. Diharapkan juga penawaran program akademik ini dapat melahirkan saintis muslim yang mempunyai komitmen tinggi untuk memacu perkembangan dan pembangunan tamadun Islam ke arah yang positif sehingga ianya menjadi tamadun ummah yang gemilang dan terbilang. Selain itu, penyelidikan yang diterajui oleh ISI adalah merentasi disiplin, paduan ilmu-ilmu agama dan sains yang berintegriti dan saling menyokong.

Sehubungan itu, misi ISI adalah untuk menjadi sebuah institut ternama dan pusat rujukan sains Islam dalam peringkat pentadbiran, akademik, penyelidikan dan perkhidmatan. Semua aktiviti yang dijalankan dalam kesemua peringkat tersebut diharapkan dapat memenuhi keperluan industri dan pihak berkepentingan di seluruh Negara.  Justeru, aktiviti keilmuan di ISI tidak terbatas kepada memahami dan mengupas worldview sains Islam semata-mata, tetapi mengaplikasikannya di organisasi atau dalam masyarakat melalui badan-badan pelajar yang ditubuhkan di bawah ISI.  Bagi mencapai misi tersebut, ISI telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, peralatan pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan teknologi terkini seperti makmal komputer, bilik mesyuarat, kamera rakaman dan mimbar ucapan awam.

Selamat melayari laman sesawang ISI.  Diharapkan pengunjung mendapat maklumat yang berguna melalui sesawang ini.  Kami di ISI sentiasa menunggu dan bersedia untuk menerima anda sebagai keluarga ISI sama ada sebagai pelajar, penyelidik atau ahli akademik.  Semoga anda menyahut pelawaan kami untuk bersama-sama ISI dalam memartabatkan sains Islam yang dapat dimanfaatkan oleh Ummah.

Sekian.

 

Salam hormat,

 

PROFESOR DR. NORITA MD NORWAWI

Pengarah Institut Sains Islam 

INSTITUT SAINS ISLAM (ISI)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6675/6676, Faks: +606-798 6677, Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.